Permulaan Misi Kembara Prihatin








Pada 28hb mei, Puteri Islam Malaysia telah mengadakan Program Kembara Prihatin  di Kampung Keh ,Kampot, Kemboja. Program ini telah diadakan untuk khidmat sukalerawan dari segi pemulihan, pembelajaran dan perubatan. Seramai 63 sukarelawan telah terbabit di dalam misi ini. Perbincangan di antara sukarelawan telah diadakan untuk mejelaskan tugas dan keadaan di sana nanti. Sedikit sebanyak info tentang kawasan program telah diperolehi;




Daripada perbincangan, kami telah ditunjukkan dengan keadaan masjid yang daif, yang memerlukan pemulihan. Kami juga diberitahu bahawa di situ komuniti muslim adalah diabaikan kerana di Kemboja, walaupun komuniti muslim menduduki 22 daerah daripada 26 daerah di kemboja namun ia hanya mewakili sebanyak 2% daripada keseluruhan populasi penduduk kemboja. Dengan ini, kami berasa lebih bersemangat untuk menyumbangkan keringat di sana nanti.

(p/s: anda boleh melihat terus Tips untuk Persediaan ke Kemboja dan Tips Apabila Berada di Kampung Keh)

Persiapan ke Kemboja ( Pergi Ringan ?!)

Puteri Islam Malaysia telah menyediakan senarai peralatan yang harus dibawa oleh  untuk ke kemboja. Di bawah merupakan Senarai Peralatan yang harus dibawa oleh kami dan sukarelawan yang lain




Daripada senarai yang diberi, kelihatan seperti terlalu banyak barang untuk dibawa kami untuk ke sana. Jadi, konsep “Pergi Ringan” akan digunakan.

Jadi, kenapa “Pergi Ringan”, kan lebih senang kalau kita bawa sahaja semua barang – barang itu? Tak payah fikir.


Yup, korang mungkin betul tapi jika pergi dengan tanpa membawa beban yang banyak;
  1.   Pergerakan kita akan lebih laju
  2.   Penggunaaan stamina yang kurang
  3.   Mengelakkan risiko daripada beg dari dirompak, (kurang barang, kurang risiko)
  4.   Memberi ruang kepada peralatan yang penting yang akan digunakan 
 (contoh; baju tebal boleh dibawa ke sana, tetapi di cuaca panas kemboja , adalah lebih baik jika ruang baju tebal itu digantikan untuk ubat –ubatan,topi dan baju t-shirt)

Jadi, kita akan melihat senarai peralatan dahulu, bila kita melihat nombor 1 dan nombor 3 iaitu pakaian dan keperluan peribadi dan pakaian solat, kedua-duanya boleh dibawa sekali dengan membawa pakaian menutup aurat (lelaki) daripada membawa sepasang baju melayu dan beberapa helai seluar pendek. Untuk sejadah, sehelai kain nipis yang kecil boleh dibawa daripada membawa sehelai sejadah yang lebih lebar dan luas

(Tips: Bawa pakaian yang lama daripada baru. Rasionalnya adalah di dalam misi sukarelawan, anda akan terlibat dengan aktiviti yang akan mengotorkan pakaian anda seperti mengecat. Selain itu, pakaian lama itu boleh dibuang atau didermakan untuk digantikan pakaian baru untuk dibeli di sana. Semua orang tak mau pakaian baru mereka terkena cat, bukan?)

Kemudian, kita melihat kepada nombor 2 iaitu selimut, kebanyakan selimut adalah tebal dan berat, jadi kain cadar katil yang nipis boleh digunakan sebagai ganti untuk kain selimut
Untuk nombor 4 iaitu botol air minum, saya tidak membawanya kerana botol air mineral boleh dibeli apabila sampai di Kemboja  (harga 1 USD = 4 botol) dan boleh digunakan sebagai botol air minum nanti

Seterusnya nombor 9, pinggan makan plastik boleh digantikan dengan Tupperware nombor 10, sudu plastik lebih ringan untuk berbanding sudu besi, dan botol air mineral masih boleh digunakan untuk menggantikan cawan

(Tips: Kebiasaanya di dalam misi sukarelawan, pihak penganjur akan menyediakan cawan, dan pinggan plastic untuk makan dan minum, menjadikan senarai nombor 9 sebagai tambahan sahaja untuk dibawa)

Untuk ubat-ubatan, bawa ubat sekadar mencukupi sahaja. (sebagai contoh; satu papan panadol mengandungi 12 atau 10 pil, tak mungkin di dalam masa  3 hari kita dapat menghabiskan satu papan itu, jadi 4 pil atau 6 pil sudah mencukupi)

Terdapat lampu suluh bersaiz kecil (Nombor 11) di pasaran yang boleh dibawa atau anda tak perlu membawa langsung ( meminjam lampu suluh) daripada kawan-kawan

Manakala ubat nyamuk yang memerlukan mancis atau “lighter” boleh digantikan losyen repellent yang lebih kecil dan lebih senang digunakan.

Anda boleh dengan membawa barang yang lebih ringan dengan 2 cara. Satu, dengan kreativiti. Satu lagi dengan duit (Beli saja barang lebih ringan tetapi mempunyai sama fungsi). Terpulang kepada anda !

Permulaan

Kami bertolak daripada KLIA ke Lapangan Terbang Phnom Penh pada pukul 3.20 petang (waktu Malaysia ) dan sampai pada 6.20 petang (waktu Kemboja).



Permandangan Kemboja dari atas



 Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh


Lapangan terbang Antarabangsa Phnom Penh ini agak ringkas bagi saya. Tidak seperti KLIA yang besar. Sejurus kami sampai di dalam lapangan terbang, kami telah ditanya oleh Pegawai Kastam di sana tentang barangan yang kami bawa masuk;

“What is this?” (Apa benda ini?) – Tanya Pegawai Kastam tersebut

Tetapi ahli sukarelawan lain menjawab dengan tidak yakin;

“Err….I also don’t know what is this?” (Saya pun tak tahu apa benda ini)
“Event…..Event” (Majlis…..Majlis)

Pegawai Kastam itu lagi bertambah kehairanan

Kemudian saya datang dan bercakap kepada pegawai kastam;

“Clothes” (Pakaian)

Pegawai kastam menanya lagi;

“All of them?” (Semua sekali?)

Dan saya menjawab;

“Yes, all of them?” ( Ya, Semua sekali)

Dengan itu, kami pun dapat melepasi kastam walaupun sebenarnya ada barang yang harus dimaklumkan kepada kastam seperti laptop dan barang elektronik yang lain.
(Tips: Jawab dengan yakin, keraguan menambah lagi kekeliruan)

Selepas itu, kami akan dibawa ke Hotel New York di Phnom Penh untuk penginapan selama sehari oleh translator kami, Husin. Semasa perjalanan, kami dapat melihat situasi trafik di sana.



Nampak tenang bukan?.....Ya, “amat tenang”

Kami yang baru pertama kali ke kemboja, amat terkejut dengan situasi trafik di sana. Kereta memotong sesuka hati, “U-turn” secara tiba-tiba, hon dan “high beam” menjadi isyarat wajib bagi mereka. Namun begitu, kata Husin, kadar kemalangan maut di Kemboja amat kurang sekali. Di sana, kebanyakan kereta Toyota, Honda memenuhi jalan raya. Saya juga diberitahu bahawa kereta di sana harganya amat murah tetapi saya tidak nampak satu bengkel kereta pun di sana. Mungkin “Pakai Buang”.




Hotel New York

Kami pun tiba di Hotel New York dengan selamat. Hotel ini berdekatan dengan Central Market yang menjadi tumpuan para pelancong untuk membeli belah di situ. “Tuk-Tuk” (beca bermotorsikal) juga ada di sekeliling hotel untuk pergi ke mana-mana. 

(Tips: Harga Tuk-Tuk boleh meningkat daripada 3 USD kepada 7 USD di sekeliling hotel, jika mahu lebih murah, jalan ke hadapan sedikit untuk menaiki Tuk – Tuk yang lain. - p/s: Tanya harga dahulu sebelum naik) 



Restoran D’Wau

Selepas kami meletakkan barang-barang di dalam bilik hotel, kami pun menjamu selera di Restoran D’Wau di dalam Hotel New York. Restoran D’Wau ini dimiliki orang Malaysia dan menyediakan masakan seperti  Roti Canai, Teh Tarik, Nasi Lemak, dan Nasi Goreng. Saya pun mencuba Roti Canai dan Teh Tarik dengan harga 1 USD bagi setiap satu. Namun, apa menarik minat kami adalah;



Air Soda Gembira


Air Soda Gembira di Restoran D’Wau adalah air soda + susu + sirap. 

Kata seorang dari kami;

"Kau rasa gembira tak minum air ini?"

Kata yang lain;

"Gembira…gembira…gembira"

Keseluruhan masakan di Restoran D’Wau adalah sedap dengan sedikit pengubahan terhadap rasa Kemboja. Kami dibenarkan berehat untuk hari ini sebelum pergi ke Kampung Keh keesokkan harinya.

Berangkat ke Kampung Keh

Kami berangkat daripada Hotel New York pada pukul 8.00 pagi ke Lapangan Terbang Phnom Penh untuk mengambil sukarelawan Puteri Islam yang baru tiba.


Ketibaan Sukarelawan Puteri islam

Kami dan sukarelawan Puteri Islam kemudian bergerak terus ke Kampong Keh, Kampot dengan 2 buah bas meninggalkan kota yang berdebu itu.



 Jalan Raya di Phnom Penh

Sepanjang perjalanan, kami semua dapat melihat tanah lapang yang amat luas di tepi jalan. Situasi ini amat jarang sekali saya lihat di Malaysia, jika ada pun hanya di Kedah.


Suasana Hijau di Sepanjang Perjalanan
 
Sedang saya melihat suasana hijau di tepi jalan.
Tiba – tiba, “translator” kami, Mad Nor menanyakan soalan kepada saya;

"Where do you want to eat? Under the tree or inside the bus?"
 (Di mana kamu semua mahu makan?  Bawah pokok atau dalam bas?)

Saya menjawab;
"Under the tree (bawah pokok)"

Kerana saya tertarik dengan suasana hijau di situ.

Namun begitu, selang beberapa minit kemudian, Mad Nor memberi isyarat kepada saya;

"Raining !….Raining ! ( Hujan !….Hujan !)"

Melihat “Aunty-Aunty” Puteri Islam yang sudah kelaparan sejak tiba di Phnom Penh , saya menjawab;

"We eat inside the bus ( Kita makan dalam bas)"

Saya dan Mad Nor pun mengagih – agihkan nasi lemak yang disediakan oleh Restoran D’wau kepada semua sukarelawan.

Selepas makan, saya berbual-bual dengan Mejar Hj. Amiruddin. Fahaman komunis Mozito, Khmer Rouge dan perbezaan antara Malaysia dan Kemboja bermain-main di fikiran saya. Mejar memberitahu saya bahawa pada zaman Khmer Rouge, sesiapa sahaja yang boleh berbahasa dan beragama asing (termasuk akan dibunuh. Bagi mereka, ini merupakan ancaman kepada kebangkitan rakyat. Bagi mereka, ini adalah “alien” (makhluk asing) dalam Negara mereka sendiri.

 Satu persoalan oleh Mejar yang menarik perhatian saya adalah ;

“Kalau di Malaysia, budak – budak bermain bola, kalau di sini, budak – budak bermain apa?”

Sepanjang perjalanan, tiada kelibat tiang gol atau taman permainan di tanah lapang yang amat luas. Mungkin jawapan soalan Mejar itu ada di Kampung Keh nanti.

Bas yang membawa kami meneruskan perjalanan di dalam keadaan hujan. “Aunty – Aunty” semuanya telah tidur kekenyangan di dalam bas. Saya tidak dapat melelapkan mata di dalam bas oleh kerana pemanduan bas yang “amat berhemah”. Ternampak kelibat banyak murid-murid sekolah berbasikal di dalam hujan. Saya kagum dengan semangat mereka, dengan harapan supaya mereka akan mengubah nasib mereka di bumi sendiri.

Beberapa jam kemudian kemudian, kami tiba di Wilayah Kep. Bas yang membawa kami berhenti di persisiran pantai untuk makan tengahari.


Pantai Wilayah Kep.

Kami pun makan di dalam pondok yang disediakan di pantai. Bungkusan Nasi goreng ayam dan air mineral diagih – agihkan kepada sukarelawan.

Muka “Aunty-Aunty” ceria mendapat makanan

Sedang saya makan, tiba- tiba Mad Nor memanggil saya;
“I want you to collect 5 USD for each…..” (Saya mahu kamu kutip 5 USD untuk setiap…)

Saya pun hairan, kenapa setiap seorang harus membayar 5 USD hanya untuk makan di pondok? “Aunty-Aunty” semua menunjukkan rasa tidak puas hati.

Rupa-rupanya, bukan setiap seorang….tetapi bagi setiap pondok….pondok ini disewa kepada pelancong. Jadi kami semua makan di dalam pondok dan dicas 20 USD (4 pondok).


Di pondok yang lain, Mad Nor dan 2 pemandu bas makan. Saya bertanya kepada mereka;
“You don’t pay?” (kamu tak bayar?)


Mad Nor menjawab;
“Drivers don’t have to pay…..hahahaha” (Pemandu tak perlu bayar….hahahaha)

Fahamlah saya bahawa cas ini  hanya dikenakan kepada orang luar. Orang kemboja tidak akan dikenakan cas (Semangat kenegaraan mereka ada di situ).

Kami semua makan nasi goreng ayam sambil ditemani anjing yang mundar-mandir di situ

“Wuf ! Wuf !”

Kemudian saya pergi di tandas, di situ saya lihat ada masalah komunikasi antara “aunty-aunty” dan penjaga tandas. “Aunty-aunty”  memikirkan berapakah kadar tukaran 1 USD kepada Riel (duit kemboja), dan jika 1 USD = berapa riel, berapa pula RM1 = ? Riel sambil Penjaga tandas tersengih-sengih di situ. Saya terus menanyakan berapakah bayaran untuk masuk ke tandas. Penjaga tandas itu memberitahu seorang = 1000 Riel. Jadi, saya hulurkan 1 USD untuk 3 orang dan mendapat baki 1000 Riel (1 USD = 4000 Riel).

Selepas selasai urusan di Kep, kami pun meneruskan perjalanan ke Kampong Keh yang memakan masa 20 minit dari situ.




Kampung Keh, Kampot

Kami tiba di Kampung Keh pada 1.30 petang selepas makan di Kep. Di dalam keadaan berlecak, saya sempat meninjau keadaan sekeliling sebelum kami semua dikumpulkan di dalam masjid.


 Ketibaan Sukarelawan di Masjid Kampung Keh


Sekolah (Akademi As-Syafie)


Di Masjid ini,terdapat hanya satu kolah untuk semua penduduk mengambil air wuduk, kolah ini bergantung sepenuhnya pada tangki air hujan yang dipasang pada bumbung masjid.


Tempat Mengambil Wuduk


Di dalam Masjid, kami akan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Suasana masjid yang berhabuk, dan cat yang pudar serta mimbar yang usang, tidak ubah seperti apa yang diceritakan kepada kami semasa awal perbincangan di Pejabat Puteri Islam. Dalam masjid, “Aunty – aunty” berbual apakah bahasa mereka(penduduk kampung) gunakan untuk berbual-bual.

Saya menjawab;

 “Khmer”

Mendengar jawapan itu, “Aunty-aunty” menanyakan kepada saya;

“Are you Khmer?" (Kamu Khmer?)

Saya ketawa sambil menjawab;

“Waaah, aunty, Saya K.L aunty”

Penyerahan Keluarga Angkat

Selepas saya diserahkan kepada keluarga angkat, saya pun mengikuti bapa angkat saya, Pak Haroun ke rumah. Saya memperkenalkan diri saya kepada beliau dengan bahasa isyarat. Saya sangat beruntung kerana lokasi rumah keluarga angkat saya berdekatan dengan masjid dan rumah guru yang digunakan sebagai pusat operasi. Selepas sampai di rumah, anak Pak Haroun, menyambut ketibaan saya di tangga rumah. Saya lalu memperkenalkan diri saya dalam bahasa kemboja;

“Kyom chmuo Abu” (Nama saya Abu)

Namun, Anak Pak Haroun menjawab kembali di situ;

“Can you speak English?” (Boleh kamu bercakap English?)

Ouch, rasa jarum menusuk di kalbu di hati saya, namun dalam hati saya berkata;

“ kalo macam ini, tak payah aku belajar bahasa kemboja”

Saya pun menjawab;

"Yes" (Ya)

Anak Pak Haroun itu memperkenalkan dirinya sebagai Hanafi di dalam rumah. Di dalam rumah, saya berbual-bual dengan hanafi  tentang keluarganya di dalam bahasa English namun begitu komunikasi kami terhad kerana Hanafi hanya mampu memahami English yang mudah. Dia berulang kali meminta maaf kepada saya sambil menyebut;

"Sorry, my English is not good" (Minta maaf, English saya tidak berapa bagus)

Saya menjawab ;

"Nevermind, as long as we are talking, that’s good" (Tidak mengapa, selagi kita berbual, itu bagus)

Kemudian, saya dibawa oleh Hanafi berjalan-jalan di dalam kampung ini.


Sawah di belakang kampung.


Saya menanyakan Hanafi, apakah semua ini padi? Hanafi menjawab semua ini adalah tanah ini untuk menanam tembikai. Tembikai di sini tidak sebesar dari apa yang kita lihat di pasaran, hanyalah sebesar penumbuk, dan banyak biji. Kemudian saya ternampak sebuah pondok di tengah-tengah tanah lapang itu.


Stor Garam

Kata Hanafi, itu merupakan stor garam selepas ia dihasilkan. Menakjubkan. Tidak pernah satu kampung di Malaysia pun saya lihat yang menghasilkan garam sendiri. Garam di sini dijual dalam seguni 750 Riel bagi satu guni beras. Selepas sampai di sungai, kami duduk seketika merasai suasana nyaman yang tidak mungkin saya rasai di Bandar. Komunikasi saya dan Hanafi terhad kerana masalah bahasa. Saya lebih banyak menanyakan apakah sesuatu benda seperti ikan, ayam dalam bahasa Kemboja. Semasa kami pulang, Hanafi menanyakan kepada saya;

Do you want to learn Khmei (Khmer)? “ (Kamu nak belajar Khmer)

Saya menerima pelawaannya dengan harapan saya boleh pratikkan apa yang saya sudah belajar sebelum pergi ke sini. Tiada aktiviti yang dibuat pada berehat  hari ini. Kami dibenarkan rehat untuk aktiviti keesokkan hari.



Kampung Keh, Hari Kedua & Ketiga

Selama 2 hari, Program khidmat masayarakat pun bermula. Segala tugas yang diserahkan pada sukarelawan akan dilakukan. Saya  bergegas ke pusat operasi (rumah guru) untuk membantu dalam pengagihan barang – barang untuk memasak , kelas tusyen dan lain-lain. 



Rumah Guru (Atap Biru)


Di situ, persiapan wayang pacak dijalankan di mana cerita akan ditayangkan dari projektor ke wayang putih. Cerita akan ditayangkan pada malam ini adalah cerita P.Ramlee iaitu keluarga 69. 


 Penduduk kampung membantu untuk mengecat


Di dalam masjid, kami dan penduduk kampung mengecat  bahagian dalam masjid, sambil menyelek bahagian mimbar. Al-quran yang rosak diasingkan untuk perlupusan.


Kelas Tusyen Bahasa Melayu

Di sudut yang lain, kelas tusyen bahasa melayu, English dan matematik diadakan pada di dalam akademi As-Syafie.
 
Klinik kesihatan juga dibuka untuk penduduk di dalam Pusat sumber Sekolah.


Pusat Sumber Sekolah


Di dalam pusat sumber sekolah, banyak informasi tentang Pol Pot dan Khmer Rouge ditunjukkan di sini.


Khmer Rouge


Di dalam misi Kembara Prihatin ini, Puteri Islam Malaysia telah menyumbangkan sebuah bengkel menjahit untuk kegunaan wanita muslim di sana.


 Bengkel Menjahit


Keupayaan wanita kampung ini menjahit sebenarnya sangat hebat. Hasil jahitan mereka sangat kemas malah mereka lebih biasa menjahit menggunakan tangan daripada mesin. Bagi saya, jika ada sesiapa mampu mempromosikan hasil mereka, mungkin mereka boleh keluar dari zon kemiskinan.


 
“Aunty-aunty” Puteri Islam dan wanita muslim kampung menjahit kain 

 
Pada sebelah petangnya pula aktiviti sukaneka diadakan bersama penduduk. Antara acara yang diadakan ialah lari sambil memegang belon dan membawa bola ping pong dengan sudu untuk kanak – kanak.


Aktiviti Sukaneka 


Khairul Fahmi ?

Bagi dewasa, kami bermain sepak raga dengan bola takraw. Kesemua mereka ini amat handal bermain. Masing –masing semuanya bagi bola “killer”


Sepak Raga


Pada malamnya pula, Wayang Pacak ditayangkan. Semasa perbincangan, kami menjangkakan bahawa filem P.Ramlee akan menjadi tarikan untuk ditonton tapi malang sekali, oleh kerana masalah bahasa, daripada satu kumpulan besar, hanya tinggal beberapa orang sahaja yang tinggal. Pada keesokkan harinya, kami menanyangkan cerita Tom & Jerry dalam bahasa khmer. Melihat cd “ Tom & Jerry” itu, kanak-kanak semua teruja sambil menyebut “Tommy Jerry”. Mereka semua telah menunggu awal untuk melihat cerita itu.


Wayang Pacak

Pada tanyangan “Tom & Jerry” itu, semua orang tak kira tua dan muda seronok melihat. Di samping itu, Mejar berpendapat bahawa ianya lebih bagus sekiranya mereka tiada televisyen kerana tiada anasir buruk akan mempengaruhi mereka. Saya pun bersetuju dengan pendapat itu. Setelah habis wayang pacak, saya pulang ke rumah angkat saya di mana kali ini saya pula kena mengajar bahasa melayu kepada Hanafi.

Pulang Ke Phnom Penh

Selepas 2 hari kami menjalankan khidmat masyarakat, kami semua akan berangkat pulang ke Phnom Penh. Semua penduduk kampung keluar untuk mengucapkan selamat tinggal. 


Penduduk Kampung berkumpul untuk mengucapkan selamat tinggal


Ada yang memeluk anak angkat masing-masing dan tak lupa juga ada yang memberikan buah tangan. Suasana sedih menyelebungi di situ. Sebelum saya pulang, tiba-tiba Pak Haroun berkata;

“Saya minta maaf bagi semua orang di sini”
 
Saya terkejut apabila Pak Haroun bercakap melayu. Selama ini, Pak Haroun hanya tersengih atau pun berkata “Tak faham”. Saya pun mengucapkan terima kasih kepada keluarganya kerana melayan saya dengan sangat baik.


Di hadapan Masjid Kampung Keh.

Kami pun berangkat dari Kampung Keh dari sana pada pukul 8.00 pagi sambil memandang lambaian penduduk kampung. Saya pun memikirkan jika saya datang lagi pada 10 tahun akan datang, adakah keadaan masih sama?


"GiveAway Contest Gila Buasir Otak: Watak Kegemaran"

 
Okay, ini adalah contest untuk watak kegemaran korang (tak kisah dari komik,filem atau manga) dari Buasir Otak


Watak Kegemaran Saya
ialah;

Tom atau Tommy dalam Kemboja dalam cerita Tom & Jerry


Saya minat watak ini kerana ianya watak gila berjaya buatkan orang ketawa. Hanya perlu usaha, usaha dan usaha walaupun tak pernah berjaya tangkap Jerry tu. Kerana watak ini jugalah menyatukan kami sukarelawan dengan semua golongan usia di Kemboja. (Walaupun kami tak faham Kemboja)

Sekian.

Tips Tambahan di Kampung Keh

Beberapa tips tambahan apabila berada di Kampung Keh.

1)      Simpan rasa tidak puas hati di rumah anda

-    Jika ada rasa tidak puas hati, jangan mengomel atau membuat bising di sini; Sesetangah penduduk faham bahasa melayu dan mereka akan amat tersinggung sekiranya terdengar. Mungkin masakan atau tempat tinggal menyebabkan kita tidak selesa tetapi apa yang kamu dapat harap di kampung. Hotel 5 bintang? Restoran berkelas dunia?

2)      Jangan Bagi

-      Di sini maksud saya ialah jangan bagi jika tak banyak. Contoh, jika anda mahu memberikan duit kepada seseorang, pastikan anda mampu memberikan 70 orang yang akan datang selepas ini.

Sekumpulan remaja dan kanak-kanak menunggu untuk mendapat duit

3)      Salam dan senyum adalah bahasa perantara antarabangsa

Di sini, kami mempunyai masalah untuk berkominikasi, tetapi semua orang di dalam dunia faham akan salam (untuk muslim) dan senyum. Ini sahaja cara untuk bermesra dengan mereka.

4)      Tanya dan kamu akan dapat

Di dalam kampung ini, sebilangan kecil yang boleh berbahasa melayu, tetapi mereka lebih suka bercakap bahasa khmer kerana sudah lama meninggalkan Malaysia. Tanya saja “boleh bercakap bahasa melayu?” dan jika tidak pun, kamu hanya dapat gelengan kepala penduduk di situ (bermaksud tak boleh). Ini amat membantu jika ada orang boleh perantara ( saya jumpa dua orang )

5)      Tinggalkan kawan-kawan

Pergi bersama kawan-kawan memanglah bagus tetapi di dalam kampung ini, ia akan membataskan kamu untuk mengenali budaya kampung ini. Sekali sekala apa kata kamu ikut orang lain (sukarelawan lain). Saya sendiri dapat belajar bahasa mereka, makan buah-buahan yang susah dijumpai di Malaysia, menaiki bot di kampung ini dan banyak lagi dan semuanya secara percuma.  Terima kasih kepada “aunty-aunty” Puteri Islam ini.


Gula kelapa laut dan tembikai. Serius, sangat sedap !

6)      Jimatkan Penggunaan air

Di sini tiada aksess air bersih, dan mereka sebenarnya amat jimat dalam penggunaan air. Jadi jimatkan penggunaan air anda di sini dan fikir tentang orang lain.
(Mereka tetap mempunyai tempat air simpanan sekiranya air hujan dan perigi TETAPI ianya sangat hampir dengan tempat perlupusan sampah dan tandas)

7)      Elakkan Ais

Di tempat di mana sumber air bersih menjadi masalah, elakkan atau kurangkan meminum minuman ais, sebaliknya minum air dimasak atau air mineral.